Maklumat-Maklumat Terkini Dan Bahan Arked

MODENAS-UniMAP Racing Challenge 2014

Kangar, 19 Mei - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal mengukir satu lagi sejarah dalam bidang permotoran melalui penganjuran perlumbaan kereta formula UniMAP – Modenas Racing Challenge 2014 di Litar Antarabangsa UniMAP yang akan berlangsung selama dua hari mulai 6 Jun ini.
 
Penganjuran perlumbaan tersebut adalah kerjasama antara Fakulti Teknologi Kejuruteraan serta para penyelidik dari Green Design and Manufacture (GDM) Research Group, Center of Excellence Geopolymer and Green Technology (CEGeoGTech), Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan, UniMAP dengan Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas).





Program ini selaras dengan hasrat Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin yang ingin membangunkan lebih banyak program yang menimbulkan minat golongan pelajar dan belia terhadap sukan permotoran.

Pengarah program UniMAP-MODENAS Racing Challenge 2014, Shayfull Zamree Abd Rahim berkata, pertandingan ini akan terbahagi kepada dua kategori iaitu Kategori A: Kelas Terbuka MODENAS GT di mana peserta diwajibkan menggunakan hanya enjin MODENAS GT 128 untuk penyertaan.

Ujar beliau, dalam kategori ini, peserta di benarkan melakukan apa saja inovasi bagi mengubahsuai dan meningkatkan prestasi enjin MODENAS GT 128 yang digunakan.

“Manakala bagi penyertaan Kategori B: 131cc pula, peserta di benarkan menggunakan dan melakukan inovasi terhadap apa saja jenis enjin yang dikeluarkan oleh pengilang motosikal di Malaysia selagi tidak melebihi 131 cc,” katanya sambil menambah hadiah keseluruhan yang ditawarkan adalah berjumlah RM10,500 bagi kedua-dua kategori.
  
Shayful Zamree berkata, UniMAP – Modenas Racing Challenge 2014 bakal menjadi perlumbaan yang amat menarik memandangkan buat julung kalinya, juara keseluruhan akan dipilih  tanpa mengambil kira pembentangan reka bentuk dan spesifikasi kereta formula yang dibangunkan.

Ujarnya, ia menjadikan perlumbaan ini lebih telus dan adil dan membuka peluang penyertaan kepada pelbagai institusi pendidikan seperti GiatMARA, Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh Malaysia.



“Sehingga kini, kami telah menerima 34 penyertaan iaitu 12 penyertaan bagi Kategori A dan 22 penyertaan bagi Kategori B,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan UniMAP, Prof. Madya Dr. Che Mohd Ruzaidi Ghazali berkata, penghasilan kereta formula dan penyertaan pelajar dalam pertandingan sebegini diharap agar dapat meningkatkan ilmu dan inovasi pelajar dan tidak termaktub kepada pembelajaran secara teori semata.






Share:

Related Posts:

Total Pageviews